Aku yang paling di kanan Selasa, 3 September, 4:45 - Generasi milenial boleh aku katakan, benda yang paling pelik, di mana kami berada di antara pertengahan generasi pembiakan manusia dan generasi teknologi—melupakan masa lalu dan belajar sesuatu yang baru (secara drastik)
Menjadi milenial adalah berat. Kita, secara paksa atau tidak, secara sedar atau tidak, bertanggungjawab mematahkan trauma generasi lama dan, dalam masa yang sama, harus belajar ‘bahasa’ baru. Dan kedua-duanya ada keperluan hidup yang boleh aku katakan sangat perlu, untuk menjadi rasional pada hari ini.
Tiada perkataan ‘depresi/depression’ waktu umur aku 15 tahun lalu. Tiada perkataan ‘trauma waktu anak/childhood trauma’ waktu aku 21 tahun dulu. Waktu dulu kami hanya disajikan ‘banyak fikir’, ‘tiada kawan’, ‘mereka (ibu bapa) tahu apa yang terbaik untuk kau’. Kau harus jalani hidup kau tanpa tahu apa benda sebenarnya yang terjadi dengan kau hari itu. Kau tidak dapat namakan perasaan atau emosi pada waktu itu. Kau tidak tahu pun menamakan emosi dan perasaan itu adalah satu skill yang boleh kau belajar.
Baru-baru ini aku ada berkongsi tentang emotional intelligence dengan kawan aku, Felicia, yang sedang dalam Ijazah Sarjana Perguruan (Pedagogi). Seperti yang aku sudah tahu, emotional intelligence ini adalah berkait dengan empathy/empati, di mana kau dapat ‘rasa’ perasaan orang lain. Tapi bila Felicia menyebut bahawa menamakan perasaan atau emosi juga berkait dengan emotional intelligence, aku terkejut milenial. Ini banyak perbezaannya dengan apa yang aku tahu, sebab “rasa” dan “tahu” adalah dua benda yang berbeza, walau ia sering berkait.
Katanya, emotional intelligence ini termasuk bila kau tahu apa nama perasaan atau emosi yang kau ada, ketika dalam kritikal atau tidak, yang bertujuan agar kau sendiri atau dua atau lebih individu saling tidak memprojeksi perasaan dan emosi yang tidak menyenangkan.
Dengan ini, rasional menjadi jambatan segalanya, dan yang membuat semua itu terjadi adalah bila kau emotional intelligence.
Aku tidak dapat bayangkan bagaimana hidup aku bila aku tahu benda ini seawal aku 21 tahun lagi, bagaimana aku rasa aku sangat perlu role model pada waktu itu.
Bayangkan bila kita tahu tindakan, fikiran rasional adalah watak utama dalam membina jalan kota kita sendiri, dan emosi adalah cuaca yang kita tidak boleh ramal, sampai hari ini. Bayangkan kau tahu yang role model yang kau perlukan adalah diri kau sendiri.