Disclaimer: Aku menulis pasal filem dengan menggunakan interpretasi dan kontemplasi, yang selalunya akan terkait dengan filosfi hidup dan juga nostalgia personal.
Deskripsi Personal Cara Memilih Filem: Sebenarnya, yang menarik perhatian aku untuk menonton filem adalah sinematik dan penggunaan warna-warna mereka. Dua benda ini sangat penting untuk aku buat keputusan, dan yang terakhir, yang menjadi ultimatum adalah skrip. Perfect Days mencukupi syarat di atas, setelah melihat trailer filem ini tahun lalu (2023). Dalam masa yang sama, aku rasa ada sesuatu yang aku cari di sana, dalam filem itu, mungkin dari senyuman karakter utama, seorang tua bernama Hirayama, atau suasana Tokyo yang tidak kelihatan sibuk di dunia Hirayama.
Untungnya, aku adalah penggemar filem-filem yang perlahan sebegini. Ia memberi aku ruang untuk kontemplasi dengan lebih dalam tentang setiap maksud, setiap pergerakan, setiap pilihan lagu, setiap kejadian yang ada dalam filem itu sendiri.
Kemahuan Atau Keperluan? Aku melihat bagaimana Perfect Days menyelit mesej yang hidup ini sebenarnya boleh menjadi lebih mudah bila kita dapat mengukur apa itu keperluan dan kemahuan. Adakah pasangan hidup satu kemahuan atau satu keperluan? Adakah pekerjaan yang besar, yang berpangkat tinggi itu kemahuanmu atau keperluanmu? Dan bagaimana mahu membezakan dua benda ini? Dengan memastikan bahawa yang memandu kau untuk sesuatu itu adalah asas untuk hidup, bukan dengan “kau boleh maka kau beli.” Kita boleh lihat adegan bila Hirayama ditanya tentang apa perasaan hidup bersendiri oleh Takashi. Dan juga bila Hirayama berhenti di tepi jalan, berfikir panjang tentang nilai harga keset lamanya yang baru sahaja dia tahu.
Rutin Bila orang lain kata rutin itu membosankan, aku dengar—rutin adalah benda yang boleh buat kita ‘content’ dan teratur. Itu yang aku percaya. Hidup dengan rutin adalah hidup dalam kawalan, dan yang memegang alat kawalannya adalah kau sendiri. Kau tahu apa yang kau buat, kau tahu apa yang kau mahu buat. Dan, aku pasti bila kita dapat mengawal sesuatu, itu memberi kita satu kepuasan. Lucu bila tengok cuti Hirayama, yang seolah-olah dia kehilangan sesuatu hari itu, lalu balik ke rumah dan sengaja membuang sampah ke lantai ruang tamu. Berdasarkan pengalaman sendiri, dari pekerjaan Hirayama, aku juga melihat bagaimana kerja-kerja pembersihan adalah kerja yang mudah untuk kita rasa kita capai sesuatu hari ini. Ia seperti kau menang satu pertandingan yang betul-betul kau mahu menang. Melihat perubahan dari kotor ke bersih, buruk ke baik, itu adalah pencapaian kecil yang seronok. Pencapaian kecil, seronok—kau gembira, bukan? Bayangkan kau boleh gembira beberapa kali dalam sehari.
Keterujaan Kecil Ada unsur keterujaan dalam cerita ini. Ia membuat filem ini lebih menarik, kerana keterujaannya sangat kecil, mikro; dalam filem yang anti plot twist, anti konflik, tapi kau masih nampak. Keterujaan kecil itu masih jelas; bila ada penari tua setiap pagi di tempat yang sama, bila crush Takashi mengucup pipi Hirayama, dan bila Niko datang tiba-tiba ke rumah. Reaksi Hirayama mengingatkan aku bahwa kita memerlukan keterujaan untuk hidup, supaya kita rasa kita tahu kita itu betul-betul hidup.
“I think it pisses God off if you walk by the color purple in a field somewhere and don’t notice it.” — Alice Walker, The Color Purple
Perfect Days adalah filem yang baik. Ia mempamerkan realiti kehidupan serba cukup dengan sangat tepat bagi aku. Definisi hidup sederhana ada di sini kalau-kalau ada yang sedang mencari. Tapi, walau apa pun, filem cuma filem. Menjadikan filem sebagai guide hidup bukanlah idea yang baik, sebab setiap orang punya jalannya tersendiri. “The world is made up of many worlds. Some are connected some are not” Dan bagi aku, it’s always perfect days, untuk kau, dia dan aku. Ikhlas dengan ketidaktahuan dan tahu, terima proses hari ini dan hari kelmarin sebab kehidupan adalah satu sekolah yang tidak habis-habis, dan kita adalah pelajar di dalamnya.